Wednesday, April 13, 2011

Kisah Nabi Yusuf


Perlu kita mengambil iktibar daripada kisah Nabi Yusuf yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW dalam Quran. Kisah para nabi diwahyukan kepada Rasulullah supaya dijadikan petunjuk dan teladan oleh manusia sepanjang zaman dalam hubungan dengan Yang Maha Pencipta dan sesama manusia.

Kisah Nabi Yusuf dihuraikan panjang lebar dalam Surah Yusuf. Ia menceritakan tentang Nabi Yusuf yang dianiaya sejak kecil hingga dewasa, tetapi akhirnya baginda menjadi wazir (setaraf jawatan Perdana Menteri pada zaman sekarang). Begitulah ketentuan Allah dan tiada sesiapa yang boleh mengubahnya.

Ia menjadi contoh klasik bagaimana seseorang yang beriman menghadapi dan menangani penganiayaan serta fitnah. Bacalah surah ini berkali-kali dan fahami maksudnya yang relevan sepanjang zaman, termasuk di Malaysia sekarang.

Dikisahkan bahawa Nabi Yusuf ketika kanak-kanak telah dianiaya oleh adik beradiknya yang berlainan ibu. Dia telah ditinggalkan oleh adik beradiknya di dalam telaga ketika masih kanak-kanak. Kepada bapa mereka, Nabi Yaacob diberitahu bahawa Yusuf dibaham serigala.

Nabi Yaacob tahu bahawa apa yang diceritakan kepadanya bukanlah kejadian sebenar, tetapi beliau bersabar dan menyerahkan segala urusan bersabit anaknya itu kepada Allah SWT. Maka ditakdirkan Yusuf yang masih kanak-kanak telah diselamatkan oleh sekumpulan peniaga yang singgah di telaga itu, lalu beliau dibawa ke Mesir dan dijual dengan harga yang murah sebagai hamba sahaya kepada seorang pembesar negara.

Dan orang Mesir (pembesar) yang membelinya berkata kepada isterinya: “Berikanlah kepadanya tempat (dan layanan) yang baik, boleh jadi dia bermanfaat kepada kita atau kita pungut dia sebagai anak.” Dan demikian pulalah Kami memberikan kedudukan yang baik kepada Yusuf di muka bumi (Mesir), dan agar Kami ajarkan kepadanya takbir mimpi. Dan Allah berkuasa terhadap urusan-Nya, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya. - Ayat 21.

Apabila dewasa, Yusuf menjadi seorang pemuda yang sangat kacak. Kekacakannya menyebabkan si isteri pembesar yang memeliharanya sangat berahi terhadapnya. Tidak tertahan lagi, pada suatu hari wanita bernama Zulaikha itu telah menggodanya ketika mereka berduaan dalam rumah.

Walaupun Yusuf hampir tergoda, imannya yang kukuh telah menahan dirinya daripada terjerumus ke perlakuan buruk. Yusuf cuba melarikan diri sehingga koyak bajunya di bahagian belakang direntap oleh Zulaikha.

Kejadian itu disedari oleh suami Zulaikha yang kebetulan kembali ke rumahnya ketika Yusuf sedang berlari ke pintu untuk menyelamatkan dirinya. Walaupun Zulaikha berkeras menuduh bahawa kononnya Yusuf yang cuba berbuat jahat terhadapnya, namun bajunya yang koyak di bahagian belakang menjadi bukti mengenai apa yang sebenarnya berlaku. Jika Yusuf yang cuba berbuat jahat, tentulah bajunya koyak di bahagian depan jika Zulaikha melawan.

Kisah Zulaikha dan Nabi Yusuf itu menjadi bualan hangat khususnya di kalangan wanita bangsawan. Lalu Zulaikha menganjurkan satu jamuan dan menjemput wanita-wanita yang mengejeknya. Masing-masing diberikan sebilah pisau untuk memotong bahan-bahan makanan.

Ketika wanita-wanita itu sedang asyik memotong bahan makanan dengan pisau, Yusuf diarahkan masuk ke tempat mereka. Melihat seorang pemuda yang sangat kacak tampil di hadapan mereka, wanita-wanita itu terpegun sehinggakan tidak menyedari pisau menghiris tangan mereka.

Menyedari apa yang berlaku, Yusuf bimbang peristiwa dengan Zulaikha akan berlaku lagi terhadapnya. Lalu beliau berdoa kepada Allah SWT.

Yusuf berkata: Wahai Tuhanku, penjara lebih aku sukai daripada memenuhi ajakan mereka kepadaku. Dan jika tidak Engkau hindarkan dari padaku tipu daya mereka, tentu aku akan cenderung untuk (memenuhi keinginan mereka) dan tentulah aku termasuk orang-orang yang bodoh. - Ayat 33

Meringkaskan cerita, Allah SWT memakbulkan doanya dan mengilhamkan kepada wanita-wanita itu supaya sepakat merencanakan Yusuf dimasukkan ke dalam penjara.

Tinggallah Yusuf di dalam penjara bagi suatu tempoh sehingga akhirnya dia diminta metadbirkan mimpi raja.

Raja berkata (kepada orang-orang terkemuka dari kaumnya): Sesungguhnya aku bermimpi melihat tujuh ekor sapi betina yang gemuk-

gemuk dimakan oleh tujuh ekor sapi betina yang kurus-kurus dan tujuh bulir (gandum) yang hijau dan tujuh bulir lainnya yang kering.” Hai orang-orang yang terkemuka: “Terangkanlah kepadaku tentang tadbir mimpiku itu jika kamu dapat menakbirkan mimpi. - Ayat 43

Tiada siapa yang dapat mentakbirkan mimpi raja itu. Lalu seorang bekas banduan memberitahu tentang seorang banduan bernama Yusuf yang tahu mentakbirkan mimpi. Apabila dipanggil, Yusuf bukan sahaja metakbirkan mimpi raja itu dengan tepat, malahan beliau juga memberikan nasihat yang betul kepada raja.

Yusuf berkata: Supaya kamu bertanam tujuh tahun (lamanya) sebagaimana biasa; maka apa yang kamu tuai hendaklah kamu simpan kecuali sedikit untuk kamu makan. Kemudian sesudah itu akan datang tujuh tahun yang amat sulit, yang menghabiskan apa yang kamu simpan, kecuali sedikit daripada yang kamu simpan. Kemudian setelah itu akan datang tahun yang berhujan (dengan cukup) dan pada masa itu mereka memeras anggur. - Ayat 47,48,49.

Raja juga mendapati bahawa Yusuf dipenjarakan kerana fitnah. Selepas membebaskannya, raja yang terpikat dengan kebijaksanaan Nabi Yusuf telah melantiknya menjadi penjaga perbendaharaan dan akhirnya dinaikkan pangkat sebagai wazir.

Di akhir Surah Yusuf (ayat 111) Allah SWT berfirman yang maksudnya: Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal. Al Quran itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, akan tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman.

Iktibar daripada kisah Nabi Yusuf ini ialah supaya orang-orang beriman bersabar dan berserah diri sepenuhnya kepada Allah SWT dalam menghadapi apa jua ujian dan masalah dalam kehidupan.

Read more: http://ilhamnurulresources.blogspot.com/#ixzz1JLtSZgl9

No comments:

Post a Comment