Friday, April 8, 2011

Cadangan Permainan Untuk Nurul & The Geng Ahad ini-diILHAMkan oleh Fauzi


Tempat yang dicadangkan ialah kawasan lapang di hadapan premis Ilham Nurul Resources.


"Getah Atas Para"
1. Getah Atas Para
  • Permainan individu ini sering dimainkan oleh kanak-kanak lelaki.
  • Hanya memerlukan kawasan gelanggang yang sederhana luas.
  • Tidak memerlukan banyak peralatan. Selain kayu yang dibenamkan ke dalam tanah, setiap pemain perlu memiliki getah induk masing-masing.
  • Melakukan penentuan giliran menggunakan kaedah 'lai lai li tam plong'. Seterusnya menggunakan kaedah 'wan tu som' bagi penentuan pemain terakhir.
  • Setiap pemain meletakkan getah taruhan masing-masing di atas para.
  • Pemain giliran pertama melakukan bidasan menggunakan getah induk.
  • Getah yang jatuh; diambil menjadi miliknya.
  • Getah yang mengena para tidak boleh diambil. Dibiarkan begitu saja.
  • Setiap pemain berusaha mengambil getah taruhan bagi menambahkan koleksi masing-masing.

"Ketinting Kapal Terbang"



2. Ketinting Kapal Terbang
  • Kanak-kanak perempuan menggemari permainan individu ini.
  • Membuat gelanggang permainan dengan cara menggoreskan di atas permukaan tanah.
  • Selain gelanggang, setiap pemain mestilah memiliki 'gundu' masing-masing.
  • Melakukan penentuan giliran.
  • Pemain pertama memulakan ting-ting.
  • Selesai melakukan pusingan pertama, lalu mencampak gundunya di petak kedua.
  • Giliran setiap pemain bertukar-ganti apabila pemain utama berstatus 'mati'.
  • Pemain yang berjaya memiliki rumah paling banyak dianggap sebagai pemenang.

"Ketinting Buku"



3. Ketinting Buku
  • Permainan ini merupakan kegemaran kanak-kanak perempuan berbanding kanak-kanak lelaki.
  • Selain aturan permainan, gelanggang bagi ketinting ini juga berbeza daripada ketinting kapal terbang.
  • Melakukan penentuan giliran menggunakan kaedah 'lai lai li tam plong' dan seterusnya 'wan tu som'.
  • Kesemua pemain meletakkan gundu masing-masing di petak pertama.
  • Pemain pertama memulakan permainan. Gundunya dikutip ketika berada selari dengan kedudukannya.
  • Sebelum membina rumah, pemain perlu melakukan imbangan gundu terlebih dahulu.
  • Semasa mencampak gundu untuk membina rumah, pemain mestilah membelakangi gelanggang permainan.
  • Setiap pemain berusaha untuk memiliki rumah sebanyak mungkin.

"Batu Seremban"



4. Batu Seremban
  • Kanak-kanak perempuan memonopoli permainan ini.
  • Guli, batu kerikil sederhana besar, biji getah atau pundi-pundi kecil dijadikan sebagai buah.
  • Pemain utama memulakan permainan dengan cara menaburkan buah seremban.
  • Jika ada buah yang bersentuhan, maka status pemain ini dianggap mati.
  • Setiap peringkat buah adalah berbeza mengikut urutan aturan yang telah ditetapkan.
  • Bermula dari buah satu hinggalah kepada buah terakhir yang juga dikenali sebagai buah 'king'.
  • Kemudian melakukan imbangan buah bagi mendapatkan mata.
  • Pemain yang berjaya memperolehi mata paling tinggi dikira sebagai pemenang.

"Aci Sorok"



5. Aci Sorok
  • Kanak-kanak lelaki dan perempuan menggemari permainan individu ini dan mereka bermain bersama-sama.
  • Undian dilakukan untuk mendapatkan seorang pemain yang berperanan sebagai pencari. Manakala pemain lain dikenali sebagai awak-awak.
  • Tiang atau pokok dijadikan rumah induk untuk pencari membuat kiraan.
  • Pencari memulakan permainan dengan cara menutup matanya sambil membuat kiraan dari 1 hinggalah ke-100.
  • Sejurus selesai membuat kiraan, pencari memulakan pencariannya.
  • Pencari mestilah menyebut nama pemain diikuti sebutan 'ibu' apabila berjaya menjumpai salah seorang pemain.

"Cari Cucu"



6. Cari Cucu
  • Permainan ini amat menyeronokkan dan ianya menjadi kegemaran kanak-kanak lelaki dan perempuan.
  • Sebatang kayu dijadikan sebagai tongkat dan sehelai kain atau sapu tangan digunakan di dalam permainan ini.
  • Undian dilakukan bagi mencari seorang pemain yang berperanan sebagai nenek. Manakala pemain lain dikenali sebagai cucu.
  • Kesemua cucu berpegangan tangan antara satu sama lain untuk membentuk satu bulatan.
  • Sambil mendendangkan lagu, kesemua cucu bergerak mengelilingi nenek yang berada di tengah-tengah bulatan.
  • Sejurus selesai cucu mendendangkan lagu, kini giliran nenek pula menyanyikannya.
  • Nenek mula mencari individu cucu yang berada di sekelilingnya.

"Galah Panjang"



7. Galah Panjang
  • Permainan berkumpulan ini merupakan kegemaran kanak-kanak lelaki.
  • Membuat gelanggang dengan cara menggoreskan di atas permukaan tanah.
  • Setiap kumpulan terdiri dari 3 pemain awak-awak dan 1 pemain sebagai ketua kumpulan.
  • Apabila salah seorang pemain penyerang berjaya disentuh, maka kumpulan ini dikira 'mati'.
  • Pertukaran giliran dilakukan dan pasukan pertahanan mengambil peranan sebagai pasukan penyerang pula.
  • Pemain penyerang yang berjaya melepasi garisan dan berjaya tiba di garisan penamat dianggap memenangi pusingan ini. Satu mata diberikan kepada kumpulan ini.
  • Kumpulan yang berjaya memungut mata paling banyak dianggap sebagai pemenang.

"Guli"



8. Guli
  • Permainan individu ini sering dimainkan oleh kanak-kanak lelaki.
  • Setiap pemain perlu mempunyai beberapa guli taruhan dan sebiji guli induk.
  • Satu bulatan digoreskan di atas tanah. Kesemua guli taruhan diletakkan di dalam bulatan.
  • Pemain pertama memulakan permainan dengan cara melontar guli induknya dan disasarkan ke arah guli taruhan yang berada di dalam bulatan.
  • Guli taruhan yang keluar dari bulatan dikutip menjadi miliknya. Manakala guli induk tidak boleh disentuh atau diambil.
  • Sekiranya guli induknya tersangkut di dalam bulatan, maka status pemain ini dikira mati.
  • Pemain yang berjaya menambah koleksi guli masing-masing dianggap sebagai pemenang.

"Jala Itek"



9. Jala Itek
  • Permainan ini menjadi kegemaran kanak-kanak lelaki dan perempuan. Malah mereka bermain bersama-sama.
  • Dua orang pemain dilantik sebagai ketua dan mereka dikehendaki mencari ahli kumpulan masing-masing.
  • Setiap ketua memilih nama samaran masing-masing. Hanya mereka berdua sahaja yang mengetahuinya.
  • Kedua-dua ketua berdiri secara berhadapan sambil memegang tangan masing-masing dan diangkat sedikit ke atas.
  • Sambil mendendangkan nyanyian, awak-awak berjalan di bawah tangan kedua ketua tersebut.
  • Pemain yang ditangkap dikehendaki memilih nama samaran. Jika pemain memilih nama samaran ketua pertama, maka pemain ini menjadi ahli kumpulannya.
  • Setelah setiap kumpulan mempunyai ahli masing-masing, kemudian melakukan adu kekuatan. Kumpulan yang berjaya menarik masuk kumpulan lawan ke kawasannya dianggap sebagai pemenang.

"Konda-Kondi"



10. Konda-Kondi
  • Kanak-kanak perempuan kurang menggemari permainan berkumpulan ini.
  • Melakukan undian untuk mendapatkan giliran sebagai pemain kumpulan utama dan pemain kumpulan kedua.
  • Lubang dikorek di atas permukaan tanah. Pemain utama meletak kayu anak melintangi lubang. Lalu menguis kayu anak menggunakan kayu ibu.
  • Pemain kumpulan kedua berusaha menangkap kayu anak yang melambung di udara.
  • Jika kayu anak berjaya disambut, maka kumpulan utama dikira mati. Giliran permainan bertukar. Kumpulan kedua akan mengambil peranan sebagai kumpulan utama pula.
  • Meneruskan permainan pada tahap dua. Pemain utama memukul kayu anak.
  • Pemain utama berusaha menghalang kayu anak yang dibaling oleh pemain kedua.
  • Mata dikira dengan cara membaringkan kayu anak menghala ke arah lubang.

"Sepak Raga"



11. Sepak Raga
  • Selain kanak-kanak lelaki, lelaki dewasa juga menggemari permainan ini.
  • Sebelum memulakan permainan, sebiji sepak raga yang diperbuat daripada rotan diperlukan.
  • Kesemua pemain berdiri dan membentuk satu bulatan.
  • Salah seorang pemain memegang bola raga, lalu melambung ke arah rakannya. Pemain menimang bola sekali atau beberapa kali sebelum menendang ke arah rakannya yang lain.
  • Setiap pemain mestilah memiliki kemahiran menimang bola agar ianya tidak jatuh ke tanah.
  • Jika bola jatuh ke tanah, salah seorang pemain mengutipnya, lalu melambung ke arah rakannya.

"Baling Tin"



12. Baling Tin
  • Permainan berkumpulan ini dimainkan bersama oleh kanak-kanak lelaki dan perempuan.
  • Melakukan undian terlebih dahulu untuk penentuan giliran sebagai pemain kumpulan utama dan kumpulan kedua.
  • Sebelum memulakan permainan, tin disusun terlebih dahulu.
  • Pemain daripada kumpulan utama memulakan permainan dengan cara membaling bola ke arah tin.
  • Setiap pemain dibenarkan membuat 3 kali lontaran untuk menjatuhkan kesemua tin.
  • Jika pemain berjaya menjatuhkan kesemua tin, maka tugas pemain kumpulan kedua adalah membaling bola ke arah pemain kumpulan utama untuk mematikannya.
  • Sekiranya pemain kumpulan utama berjaya menyusun semula tin, maka kumpulan ini dianggap memenangi permainan pada pusingan ini.

"Susun Selipar"



13. Susun Selipar
  • Permainan ini dimainkan oleh kanak-kanak lelaki dan perempuan dan mereka bermain bersama-sama.
  • Peralatan yang diperlukan adalah 3 belah selipar dan sebiji bola tenis.
  • Pemain pertama daripada kumpulan utama memulakan permainan dengan cara membaling bola ke arah selipar yang telah disusun.
  • Setiap pemain dibenarkan membuat 3 kali lontaran untuk menjatuhkan kesemua selipar.
  • Pemain kedua dari kumpulan utama boleh menyambung permainan dengan melontar bola bagi menjatuhkan baki selipar yang ada.
  • Jika kesemua selipar berjaya dijatuhkan, maka pemain kumpulan kedua berusaha mematikan lawannya dengan membuat balingan bola dan disasarkan ke arah anggota badan kumpulan utama.
  • Satu mata diberikan jika pemain kumpulan utama berjaya menyusun semula kesemua selipar tersebut.

"Main Tikam"



14. Main Tikam
  • Permainan individu ini amat popular di kalangan kanak-kanak lelaki.
  • Kanak-kanak duduk bersila atau bersimpuh semasa melakukan permainan ini.
  • Alatan tikam dilambung ke udara. Setiap pemain mestilah mahir mengawal alatan tikam agar ianya jatuh terpacak di atas permukaan tanah yang gembur.
  • Jika alatan tikam jatuh tanpa terpacak, maka pemain ini dianggap mati.
  • Setiap pemain melakukan permainan ini mengikut tahap yang telah ditetapkan.
  • Pemain yang berjaya menamatkan kesemua tahap permainan dianggap memenangi permainan ini.

"Dam Aji"



15. Dam Aji
  • Permainan strategi ini dimainkan secara individu. Selain kanak-kanak lelaki, lelaki dewasa juga menggemari permainan ini.
  • Permainan ini dimainkan di kawasan anjung rumah. Manakala lelaki dewasa lebih gemar bermain di kedai kopi sambil berbual kosong.
  • Setiap pemain berusaha mengalahkan lawan masing-masing dengan cara memakan buah dam lawannya.
  • Permainan ini mengambil masa yang agak lama kerana setiap pemain perlu berfikir dan berupaya memerangkap pihak lawan bagi mengalahkannya.
  • Pemain yang berjaya memakan kesemua buah dam milik lawannya dianggap memenangi permainan ini.
  • Status seri juga boleh berlaku jika kedua-dua pemain gagal mengalahkan lawan masing-masing.

"Aji Terbang"



16. Aji Terbang
  • Sama seperti dam aji, permainan ini juga digemari oleh kanak-kanak lelaki. Tetapi lelaki dewasa tidak menggemarinya.
  • Cara susunan buah dam adalah sama seperti permainan dam aji. Cuma cara dan peraturannya ada sedikit perbezaan.
  • Pemain dimestikan makan buah dam pihak lawan jika ada peluang.
  • Sekiranya pemain tidak makan buah dam milik lawannya sama ada dengan sengaja atau pun tidak, maka buahnya akan dirampas.
  • Menariknya, apabila buah dam berstatus aji, maka buah aji ini boleh terbang dan berhenti di kesemua arah.
  • Pemain yang berjaya memakan kesemua buah dam milik lawannya dianggap memenangi permainan ini.

"Congkak"



17. Congkak
  • Permainan individu ini dimainkan oleh kanak-kanak perempuan. Selain kanak-kanak, perempuan dewasa termasuklah ibu-ibu dan nenek-nenek juga menggemari permainan ini.
  • Guli, batu kerikil kecil ataupun biji getah dijadikan buah congkak.
  • Pemain menggali lubang bagi membuat gelanggang permainan.
  • Setiap pemain memasukkan 7 biji buah congkak ke dalam setiap lubang congkak.
  • Permainan dimulakan serentak dan setiap pemain berusaha menambah bilangan buah congkak di dalam lubang rumah masing-masing.
  • Permainan berterusan sehinggalah tiada lagi buah congkak berada di dalam lubang di kampung masing-masing.
  • Permainan ini mengambil masa yang agak lama dan pemain yang berjaya memungut buah congkak yang paling banyak dianggap memenangi permainan ini.

"Lompat Getah"



18. Lompat Getah
  • Kanak-kanak perempuan menggemari permainan ini. Manakala kanak-kanak lelaki tidak meminatinya dan mereka lebih gemar membuat onar.
  • Getah gelang dijalin menjadi rantaian getah yang panjang.
  • Kemudian kesemua pemain melakukan undian bagi menentukan giliran untuk tempat pertama, kedua dan seterusnya. Pemain yang kalah di dalam undian ini akan mengambil giliran di tempat yang terakhir.
  • Dua orang pemain ditugaskan memegang kedua belah hujung rantaian getah. Manakala pemain giliran pertama memulakan permainan dengan cara melompat melepasi rantaian getah yang dipegang oleh rakan mereka.
  • Kedudukan getah dinaikkan mengikut tahap permainan yang telah ditetapkan.
  • Jika pemain pertama gagal melepasi tahap permainan tertentu, maka pemain ini dikira mati dan giliran seterusnya diberikan kepada pemain yang berikutnya.

"Lawan Bola"



19. Lawan Bola
  • Permainan individu ini dimainkan di kawasan anjung rumah ataupun di dalam rumah.
  • Pemain perlu menyediakan peralatan permainan termasuklah bola kertas, pemain, gol serta padang permainan.
  • Kedua-dua pemain menyusun kedudukan pemain masing-masing.
  • Memulakan sepakan bola dengan cara menjentik pemain ataupun menepuk pemain.
  • Jika tepukannya baik, bola meluncur laju ke arah gol.
  • Kedua-dua pemain berusaha mengalahkan lawan masing-masing dengan cara menyumbat gol.
  • Pemain yang berjaya menjaringkan gol paling banyak dianggap memenangi permainan ini.

"Gasing"



20. Gasing
  • Permainan individu ini dimainkan di kawasan halaman rumah.
  • Membuat satu bulatan dengan cara menggoreskan di atas permukaan tanah.
  • Melakukan penentuan giliran dengan cara setiap pemain melontar gasing masing-masing ke arah garisan penentuan. Gasing yang jatuh paling hampir dengan garisan penanda serta berpusing akan mengambil giliran di tempat pertama.
  • Manakala gasing yang jatuh paling jauh daripada garisan penanda atau gasingnya tidak berpusing dijadikan sebagai gasing penahan.
  • Pemain pertama memulakan permainan dengan cara memangkah gasing penahan yang berada di dalam bulatan.
  • Setiap pemain mestilah memiliki kemahiran melilit gasing, menjatuh dan memusingkan gasing.


Read more: http://ilhamnurulresources.blogspot.com/#ixzz1IwWQJjzu

No comments:

Post a Comment