BERLAKON...Cyrus dan Miley dalam penggambaran siri televisyen Hannah Montana.
TERKENAL...Miley bersama ibunya keluar makan tengah hari di restoran Bea Bea's di Burbank, California.
BAPA bintang remaja Miley Cyrus mendakwa program televisyen terbitan Disney Hannah Montana menghancurkan kehidupan keluarganya.
Billy Ray Cyrus mengeluarkan kenyataan itu selepas beberapa siri skandal mencemarkan imej baik anak perempuannya yang bergelar jutawan dan kini berusia 18 tahun.
"Saya berterus-terang dengan anda sekarang bahawa rancangan TV itu memusnahkan keluarga saya," ujar penyanyi country itu.
Cyrus yang melakonkan watak bapa dan pengurus Miley dalam siri TV Hannah Montana, dalam wawancara bersama majalah GQ di Amerika Syarikat, malah mendakwa keluarganya terkena serangan syaitan.
Cyrus yang melakonkan watak bapa dan pengurus Miley dalam siri TV Hannah Montana, dalam wawancara bersama majalah GQ di Amerika Syarikat, malah mendakwa keluarganya terkena serangan syaitan.
Peranan Miley sebagai remaja yang mempunyai kehidupan rahsia sebagai bintang pop Hannah Montana menaikkan namanya ke seluruh dunia.
Miley juga berjaya menjadi penyanyi terkenal dalam kehidupan sebenar dan dijangka memperoleh pendapatan lebih 20 juta pound (RM98.2 juta) hasil pembabitannya dalam siri Hannah Montana.
Bagaimanapun, Cyrus berkata: "Tidak disangsikan siri TV itu memberi pendapatan lumayan kepada Miley. Namun, ada kalanya, kepercayaan saya dan Miley turut goyah. Itu perkara yang amat menyedihkan saya.
"Saya bimbang tentang Miley. Ada ramai orang di sekelilingnya yang memberi pengaruh buruk kepadanya."
"Saya mahu melindunginya daripada semua malapetaka dan bahaya."
Penyanyi berusia 49 tahun itu yang mempunyai lagu popular Achy Breaky Heart di British pada 1992 berkata, dia berharap siri Disney itu tidak pernah berlaku.
"Saya benci mengatakannya tetapi saya berharap siri TV itu tidak pernah berlaku. Saya ingin melupakannya serta-merta jika saya boleh melakukannya," tambahnya.
Miley mencetuskan kontroversi apabila dia muncul separuh bogel dalam majalah Vanity Fair ketika berusia 15 tahun. Dia turut berpakaian menjolok mata dan mempersembahkan tarian lucah dalam konsertnya setahun kemudian hingga menimbulkan kemarahan golongan ibu bapa.
Rakaman video menunjukkan dia menghisap ganja tahun lalu yang terbongkar juga memburukkan lagi imejnya.
Namun, Cyrus yang berpisah dengan isterinya, Tish berkata, dia seolah-olah sudah menyaksikan tanda-tanda malapetaka itu ketika masih menjalani penggambaran musim akhir Hannah Montana bersama Miley.
"Saya pergi bekerja setiap hari walaupun tahu keluarga saya akan musnah dan saya masih duduk di depan kamera," katanya kepada majalah GQ.
"Saya melihat ke belakang dan berfikir, "Bagaimana saya boleh menghadapi semua itu?" Saya mungkin pelakon yang baik daripada yang saya fikirkan."
Cyrus berkata dia terpaksa menanggung kesalahan setiap kali Miley terbabit dengan masalah.
"Setiap kali sesuatu terjadi dalam kerjaya Miley, setiap kali ada perkara buruk yang berlaku mereka akan merujuk kepada saya.
"Saya menerimanya kerana saya bapanya dan itu yang akan dilakukan sebagai seorang bapa."
Cyrus menambah: "Ada ramai orang yang akan membuat penilaian terhadap Miley. Saya bangga mengatakannya hari ini yang saya tidak pernah mengambil walaupun sesen pun daripada pendapatan Miley."
Dia mendakwa pengurus Miley memberitahunya insiden ganja itu bukan urusannya. Namun Cyrus berkata: "Saya sepatutnya menjadi bapa yang lebih baik. Saya patut katakan 'cukuplah semua itu' tetapi saya tidak melakukannya."
Read more: http://ilhamnurulresources.blogspot.com/#ixzz1EZY6xUav
No comments:
Post a Comment