Thursday, January 20, 2011

Sudahkah Majikan Anda Membayar Bonus?.

AKTA DAN UNDANG-UNDANG PEKERJAAN DI MALAYSIA

PENGENALAN
Hubungan antara majikan dengan pekerja tidak diliputi oleh undang-undang buruh yang jelas pada zaman dahulu. Ini bermakna majikan mempunyai kuasa yang tidak terkawal dan bebas melakukan sesuatu sesuka hati mereka terhadap pekerja. Golongan pekerja tertindas dan tidak mendapat layanan yang adil. Pekerja tidak ubah seperti hamba abdi dimana nasib dan masa depan mereka terletak secara mutlak di tangan majikan.
Revolusi industri di Eropah mula membangkitkan golongan pekerja dalam menuntut hak mereka dan pengaruhnya merebak ke negara-negara lain di seluruh dunia. Contohnya di Britain golongan pekerja telah menjadi satu kumpulan yang kuat sehingga mereka dapat menguasai dunia politik tempatan dan Parti Buruh pernah menerajui kepimpinan negara.
Undang-undang buruh mula diperkenalkan sedikit demi sedikit. Hubungan majikan dan buruh dikawal oleh undang-undang buruh walaupun mereka masih bebas memasuki kontrak dan menyetujui terma-terma tertentu. Setiap terma kontrak perkhidmatan mereka mestilah tidakbertentangan dengan undang-undang. Undang-undang telah menjamin perkara-perkara seperti upah, tempoh masa bekerja, cuti dan sebagainya.
Di Malaysia juga, hubungan antara majikan dan pekerja dikawal oleh undang-undang buruh. Perkembangan undang-undang buruh di Malaysia bermula apabila ramai buruh Cina dan India dibawa masuk ke Tanah Melayu untuk bekerja di lombong bijih dan ladang getah. Pertumbuhan dan perkembangan pesat lombong bijih dan ladang getah di Tanah Melayu meningkat dari semasa ke semasa, dan jumlah buruh tersebut juga turut meningkat. Buruh Cina dan India itu dibawa masuk oleh orang Inggeris yang merupakan pengusaha lombong bijih dan ladang getah melalui ejen tertentu.
Pada peringkat permulaanya, buruh Cina mengikat kontrak untuk bekerja di lombong bijih bagi sesuatu tempoh tertentu, dan selepas itu, mereka dibebaskan untuk mencari pekerjaan lain. Sebahagian daripada upah mereka dipotong bagi membayar balik perbelanjaan membawa mereka masuk ke Tanah Melayu. Keadaan bekerja pada masa itu sangat buruk dan mereka telah ditindas.
Begitu juga dengan buruh India yang dibawa masuk ke Tanah Melayu. Kebanyakan mereka adalah dari India Selatan dan mereka bekerja di Tanah Melayu di ladang kopi tebu dan ladang getah. Mereka juga terikat di bawah satu sistem perjanjian untuk bekerja di ladang-ladang tersebut bagi tempoh dua atau tiga tahun. Sebahagian daripada mereka terus kekal bekerja di ladang-ladang tersebut dan sebahagian lagi bekerja di pelbagai sektor terutamanya dengan kerajaan. Tidak ada satu undang-undang yang khusus bagi melindungi buruh-buruh tersebut. Cara yang digunakan oleh saudagar-saudagar Inggeris ialah dengan melantik seorang ketua daripada kaum itu sendiri bagi menguruskan hal-ehwal mereka. Misalnya, pada tahun 1877, seorang Pelindung Orang Cina telah dilantik di Negeri-negeri Selat bagi menjaga hal-ehwal masyarakat pekerja Cina dan bagi mengelakkan penindasan.
Pada umumnya, undang-undang (Ordinan) buruh yang digubal dalam abad kesembilan belas dan awal abad kedua puluh adalah sebahagian besarnya menyentuh tentang imigrasi, syarat-syarat kerja bagi kemasukan buruh paksa, perumahan keadaan kesihatan dan sebgainya. Pada tahun 1912, Jabatan Buruh telah ditubuhkan di Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Satu Kanun Buruh telah digubal bagi Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1912 dan bagi Negeri-Negeri Selat pada tahun 1920.

Undang-undang Buruh Kini

Prinsip-prinsip yang meliputi hubungan antara majikan dengan pekerja di Malaysia diperoleh daripada tiga sumber utama:-
  1. Commom Law
  2. Undang-undang bertulis di Malaysia; dan
  3. Keputusan-keputusan Mahkamah Perusahaan dan Mahkamah Sivil.
Pengaruh Commom Law di Malaysia begitu luas sekali. Kecuali undang-undang yang melibatkan hal-ehwal agama dan kekeluargaan, banyak aspek undang-undang di Malaysia dipengaruhi oleh Commom Law. Penjajahanlah yang merupakan sebabnya. Commom Law masuk ke negara ini melalui dua saluran iaitu melalui perundangan dan kehakiman.
Statut(undang-undang tertulis) buruh di Malaysia banyak ditiru daripada statut buruh Inggeris dan India. Sungguhpun begitu, statut buruh di Malaysia tidaklah benar-benar serupa (in pari materia) dengan undang-undang buruh di kedua-kedua negara tersebut. Jika diteliti peruntukan dalam statut buruh di Malaysia, terdapat beberapa peruntukan tertentu yang khusus untuk Malaysia.
Statut-statut buruh di Malaysia terdiri daripada Akta Pekerjaan, Akta Perhubungan Perusahaan, Akta Kesatuan Sekerja, Akta Keselamatan Sosial Pekerja, Akta Pampasan Pekerja dan sebagainya. Inilah undang-undang bertulis berkenaan buruh di Malaysia. Menurut seksyen 3 dan 5, Akta Undang-undang Sivil, jika terdapat undang-undang bertulis di Malaysia, Commom Law tidak terpakai. Walau bagaimanapun, jika terdaapt lakuna dalam undang-undang bertulis tersebut, prinsip Commom Law masih terpakai bagi mengisi lakuna itu.
Mahkamah di Malaysia banyak mengambil kes-kes Common Law bagi menjelaskan aspek undang-undang buruh di Malaysia, misalnya seperti ujian menentukan wujud atau tidaknya "kontrak perkhidmatan", kewajipan tersirat majikan-pekerja dan sebagainya. Sejauh yang dapat diperhatikan, mahkamah di Malaysia tidak membincangkan hal tersebut apabila mahkamah memutuskan kes-kes berkenaan buruh.
Statut-statut buruh di Malaysia adalah seperti berikut:
  1. Akta Pekerjaan, 1955 (Semakan 1981). (Pindaan 1989)
  2. Akta Kesatuan Sekerja, 1959 (semakan 1981), (Pindaan 1989)
  3. Akta Perhubungan Perusahaan, 1957 (pindaan 1980, 1989).
  4. Akta Keselamatan Sosial Pekerja, 1969.
  5. Akta Kilang dan Jentera, 1967.
  6. Akta (pekerjaan) Kanak-kanak dan Orang Muda, 1966.


Read more: http://ilhamnurulresources.blogspot.com/#ixzz1BWSKSW00

No comments:

Post a Comment

Post a Comment