Showing posts with label Uncle Seekers Photos. Show all posts
Showing posts with label Uncle Seekers Photos. Show all posts

Saturday, December 11, 2010

Tunduk kepada queen control?

Ramai suami yang mengeluh kerana hidup mereka seperti dikongkong dan tidak dihormati.






PAKAR berpendapat sikap lelaki yang terlalu mudah mengalah menyebabkan isteri bersikap queen control.


DIA memerintah suami melakukan itu dan ini. Disuruh membasuh baju, memasak atau mengemas rumah. Tidak boleh dibantah, kalau dilawan, pasti tinggi suaranya membalas kembali.
Dia juga mengawal segala kewangan dan keputusan keluarga. Apa yang harus dibeli, ke mana pergi bercuti atau bila hubungan seksual dilakukan.
Apabila isteri bersikap begini, ramai suami yang mula mengeluh kerana hidup mereka seperti dikongkong dan tidak dihormati.
Umpama lembu ditarik hidung. Begitulah kata-kata kiasan yang tepat bagi menerangkan maksud wanita queen control dalam sesebuah hubungan rumah tangga.
Queen control atau terlalu mengongkong disifatkan sebagai sikap menyuruh atau memerintah seorang si isteri kepada suaminya dalam keadaan memaksa, tidak kira apa jua situasi.
Justeru, melihat faktor kecanggihan teknologi dunia hari ini, benarkah senario itu dianggap sudah lapuk ditelan zaman? Memandangkan wanita metropolitan masa kini lebih mementingkan etika dan nilai-nilai kekeluargaan, demi mewujudkan keharmonian dalam rumah tangga.
Malah, menjadi persoalan ramai, masih wujudkah jolokan wanita queen control pada era moden kini? Menurut Pakar Motivasi, Dr. HM Tuah Iskandar, kewujudan sikapqueen control tidak mengira apa jua keadaan mahupun situasi. Ia wujud dalam semua era kehidupan manusia.
Tidak dinafikan, kewujudannya disebabkan beberapa punca yang tercetus atau dicetus oleh kedua-dua pihak, sama ada lelaki mahupun wanita.
Untuk kepastiannya jelas Tuah, terdapat tiga jenis queen control, iaitu jenis mutlak, pertengahan dan permulaan.
“Bagi yang jenis mutlak, tingkahlaku isteri adalah terlalu bersikap mengawal suami 100 peratus hingga suami bagaikan haiwan peliharaan, terpaksa tunduk sahaja atas semua arahan dan kemahuan isteri
“Jenis pertengahan pula adalah seperti si isteri suka mengawal dan mengarah ikut emosi yang sedang dialaminya. Mereka ini adalah isteri yang bersikap berubah-ubah dan ikut mood tanpa menghiraukan perasaan yang dialami suami ketika itu.
“Manakala queen control jenis permulaan pula kebiasaannya terjadi selepas setahun mendirikan rumah tangga. Waktu itu, isteri mula melihat kelemahan suami serta mula tidak menyukai beberapa sifat pasangannya.
“Keadaan sebegini lebih mudah berlaku apabila si suami seorang yang lemah, kurang bertegas dan kerap memberi muka kepada isteri, iaitu sering tunduk kepada kemahuan si isteri,” tegasnya.


TOLERANSI dan saling percaya adalah resipi terbaik percintaan.


Justeru, dalam meneliti punca utama lahirnya sikap sebegini, queen control berlaku apabila si isteri mula melihat kelemahan suami dan merasakan dirinya lebih dominan. Tambahan apabila sejak lahiriah lagi si suami memang suka beralah untuk mengelakkan berlakunya ketegangan.
“Sebenarnya, suami bukanlah takut pada isteri yang begini, tetapi semata-mata malas hendak memanjangkan perkara kecil atau untuk mengelakkan perbalahan atau pertengkaran yang tercetus.



“Lebih-lebih lagi jika suami terpaksa bergantung nasib kepada isteri, misalnya dalam hal penyediaan makan minum, taraf pekerjaan yang rendah berbanding isterinya, soal pemberian penjagaan anak-anak dan rumah tangga, bahkan soal pendapatan,” jelasnya pengaruh mertua juga turut menyumbang ke arah kewujudan sikap sebegini.
Dalam soal jolokan wanita queen control ini juga, mereka tidak mahu rasa tercabar dengan kedudukan yang lebih tinggi daripada pasangan. Sekali gus tidak mahu berasa rendah diri atau wujudnya jurang perbezaan di antara dua pihak, sehingga menjadi perbualan ramai.
“Saya bimbang jika keadaan ini dibiarkan berlaku. Ia boleh mengancam institusi perkahwinan itu sendiri. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku dalam masyarakat,” tegas beliau.
Adakah ia kesilapan daripada sikap lelaki itu sendiri sehingga membuatkan wanita bersikap mengongkong? “Ya, memang silap si lelaki. Sikap beralah itu baik, tapi usah terlalu memberi muka, nanti hilang kredibiliti.
“Suami adalah pemimpin, ketegasan itu kadang-kadang perlu supaya si isteri tidak terbabas memiliki sifat yang salah.
“Realitinya, lelaki akan berasa cepat jemu sekiranya ia berterusan. Lelaki seperti ini lebih rela menjalani hidup sedemikian rupa atas sebab kasih sayang yang besar sebagaimana digambarkan oleh watak Re (Tompel) dalam filem Do Re Mi.
“Terpulang kepada bentuk control daripada wanita itu sendiri. Jika wanita bersikap queen control kerana kegagalan suami berperanan sebagai ketua keluarga, lelaki tidak akan berasa jemu malah tidak mustahil lelaki akan berasa lega dan berlapang dada dengan pertolongan besar si isteri,” jelasnya.

Monday, December 6, 2010

Britney dibelasah?

TEGANG...aksi Britney dan Trawick ketika gambar mereka dirakam sekumpulan paparazzi di Los Angeles, semalam.
TEGANG...aksi Britney dan Trawick ketika gambar mereka dirakam sekumpulan paparazzi di Los Angeles, semalam.
LOS ANGELES: Baru meraikan ulang tahun kelahiran ke-29 Khamis lalu, hidup Britney Spears mencuri perhatian orang ramai sekali lagi.
Kali ini dia didakwa menjadi mangsa dera teman lelaki terbarunya, Jason Trawick, seorang ejen selebriti yang menjadi pacar Britney sejak musim panas tahun lalu.

Dalam laporan beberapa laman sesawang selebriti AS, Britney dikatakan mengadu kepada bekas suaminya, Jason Alexander, baru-baru ini.
Dalam rakaman audio itu, suara seorang wanita dipercayai Britney didengar berkata: “Si celaka itu bukan tunang saya.” Alexander kemudian berkata, dia menyangka Trawick pernah melamar Britney ketika mereka berada di kawasan pantai tidak lama dulu.

Ketika itulah Britney bertanya semula kepada Alexander yang pernah menjadi suaminya hanya selama 55 jam: “Bila? Sebelum atau selepas dia (Trawick) memukul saya?” Bagaimanapun, semalam ejen Britney menafikan penyanyi itu pernah menjadi mangsa kekasaran Trawick.

“Kenyataan mengaitkan Alexander adalah palsu semata-mata kerana Britney tidak berhubung dengannya sejak beberapa tahun lalu.
“Rakaman audio kononnya ia perbualan Alexander dan Britney jelas palsu dan lucu.” katanya.

Melalui laman sesawang Twitter pula, Britney menuduh laporan itu serta Alexander sebagai ‘penipu’.

Semalam, sekumpulan paparazzi merakamkan aksi Britney dan Trawick - pernah menjadi ejen Taylor Swift, Hilary Duff dan Paris Hilton - dalam keadaan tegang.

Namun, tidak dapat dipastikan sama ada kemarahan itu kerana sedang menghadapi masalah atau mereka beng dengan tindakan paparazzi terbabit

Friday, December 3, 2010

Saat Menilai Cinta






APAKAH progres perhubungan cinta anda tahun lalu?


SETIAP kali menjelang tahun baru, melakukan resolusi mengenai karier, hal kewangan dan cinta sememangnya menjadi rutin bagi setiap orang.
Bagi pasangan yang sedang bercinta, kenangan yang dilalui sepanjang tahun lalu mungkin lebih mematangkan fikiran. Apatah lagi bagi pasangan yang pernah gagal dalam percintaan.
Mereka menganggap tahun yang dilalui umpama suatu pengajaran yang membawa ke arah kehidupan yang lebih bermakna.
Menyentuh soal cinta, jangan pula anda lupa melakukan perubahan kepada diri dengan meletakkan keazaman yang tinggi dalam hal-hal melibatkan dunia percintaan.
Ikuti tip-tip yang disenaraikan di bawah:
1. Lupakan masa lalu
Anda bukanlah insan yang pernah dikhianati, dibenci mahupun ditinggalkan menjelang hari pernikahan. Setiap perkara yang dilalui sepanjang kehidupan lalu harus dijadikan pengajaran. Tetapi, jangan biarkan pengalaman buruk anda pada masa lampau mempengaruhi hubungan yang sedang terjalin.
Jangan biarkan hal-hal positif dan menyenangkan anda dengan pasangan bertukar gara-gara terlalu asyik membuat perbandingan dari tahun ke tahun. Ibaratkan hubungan yang baru dijalinkan itu seperti kertas putih yang siap dicorak.
2. Temui ramai orang
Bekerja di bawah satu bumbung yang sama atau tinggal berhampiran dengan kediaman anda tidak bermakna dapat membantu anda menemui calon kekasih yang berpotensi, kecuali seorang teman yang sudah lama dikenali. Jalinkan hubungan cinta dengan seorang teman yang boleh membawa anda ke arah dunia persahabatan yang lebih bermakna.
Keluarlah dari zon selesa anda. Sekiranya selama ini anda kerap ke pusat gimnasium selepas pulang dari tempat kerja, namun pada tahun ini, bangunlah pada awal pagi dan lakukan rutin harian dengan melaksanakan segala tugasan yang lebih menyihatkan. Lebih berkesan, ikuti kursus atau motivasi yang melibatkan pesertanya terdiri di kalangan lelaki dan wanita.
3. Ubah penampilan
Sudah tiba masanya anda meninggalkan gaya penampilan lama. Tidak salah sekiranya anda mengeluarkan wang yang lebih semata-mata untuk mengubah stail rambut terkini. Kunjungi salon dan bawalah contoh model rambut daripada majalah sekiranya perlu mendapat keterangan.
Demikian pula dalam hal berkaitan pakaian dan aksesori. Pilih baju berwarna cerah dan bermotifkan corak yang menarik agar anda kelihatan menonjol pada setiap masa.
4. Jangan terburu-buru
Menemui cinta baru mungkin mendatangkan kesan positif. Tetapi, jangan pula anda terus membawanya berjumpa dengan seluruh ahli keluarga. Tunggulah sehingga waktu yang tepat dan jangan sesekali merosakkan hubungan yang baru dibina itu. Hindari berbicara tentang masa depan saat hubungan baru berumur setahun jagung. Nikmatilah waktu perkenalan ini untuk memantapkan hati anda dan pasangan.
5. Jangan terlalu memilih
Setiap orang pasti ada kekurangannya, jadi apabila anda begitu obses akan kekurangan pasangan, mungkin anda sukar untuk menemui cinta baru. Sekurang-kurangnya selidik dulu kelebihan yang ada pada dirinya.
6. Buat keputusan
Cinta kerana paksaan akan membawa duka pada kemudian hari. Jangan takut untuk meluahkan apa yang terpendam kerana ia boleh mendatangkan kesan buruk dalam perhubungan. Oleh itu, lakukan keputusan yang berpihak kepada diri dan jangan takut katakan 'tidak'.

Rakyat Malaysia popular di Internet



RAKYAT Malaysia kurang mementingkan soal privasi apabila berkenalan dalam talian.


DALAM satu tinjauan global, rakyat Malaysia dilaporkan sebagai golongan yang paling popular di Internet manakala rakyat Jepun paling sedikit. Tinjauan itu sekali gus mencerminkan budaya sesebuah negara melalui perilaku dalam talian.
Menerusi kajian hidup digital oleh syarikat penyelidikan Global TNS, Malaysia memenangi 'pertandingan' populariti Internet dengan purata 233 teman di rangkaian sosial mereka berbanding hanya 68 teman bagi rakyat China dan hanya 29 teman bagi pengguna Internet di Jepun.
Penemuan itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan bagi sebuah negara seperti Malaysia. Dengan latar kepelbagaian budaya dan juga tradisi rumah terbuka yang sering dianjurkan sepanjang tahun, rakyatnya lebih bersikap terbuka untuk membina kenalan baru.
Seorang pelakon dan penulis, Chacko Vadaketh memberitahu, tabiat mengundang orang adalah tabiat rakyat Malaysia.
"Maka, orang yang kamu mungkin kenal dan seterusnya dianggap sebagai kawan lebih meluas konsepnya berbanding komuniti lain," katanya yang mempunyai seramai 1,010 rakan di laman sosial Facebook.
Peluang pekerjaan
Sementara itu, Malaysia juga mempunyai taburan meluas dalam kalangan profesional yang mencari peluang pekerjaan di luar negara.
Sebab itulah, jaringan sosial itu dianggap sangat bernilai bagi mereka terus berhubung dengan teman-teman yang jauh.
Vadaketh berketurunan India dan Syria, pernah belajar di Britain dan kini menetap di Amerika Syarikat. Bukan sesuatu yang pelik jika lelaki itu mempunyai keluarga dan teman-teman di beberapa benua. Itu sudah dianggap perkara biasa bagi generasi Malaysia yang celik dunia maya.
"Saya pernah tidak mempedulikan Facebook untuk sementara hinggalah saya tidak mempunyai pilihan kerana ia mempunyai beberapa kelebihan berbanding e-mel.
"Saya sentiasa mengikuti perkembangan atau mendapat jemputan ke majlis-majlis keraian menerusi Facebook," katanya.
Bagi Pengarah Digital Bahagian Dalam Talian Nielsen, Mark Higginson, cara rakyat sesebuah negara menggunakan media sosial dipengaruhi ciri kenegaraan masing-masing.
Perkara itu diperjelaskan melalui reaksi keterbukaan rakyat Asia Tenggara seperti Malaysia, Filipina dan Indonesia, berbanding rakyat negara Asia Timur seperti China, Jepun dan Korea Selatan yang konservatif.
"Jepun adalah pengguna besar media sosial cuma mereka hanya tidak begitu serasi dengan Facebook manakala penggunaan platform Twitter baru saja hendak dibiasakan.
"Blog juga popular di Jepun. Namun, pengisiannya adalah lebih kepada catatan peribadi dan bukannya perbincangan terbuka. Jadi, saya fikir ia sesuai dengan budaya Jepun yang berkonsep pengenalan wajah dan profil yang tersusun," ujar Higginson.
Dalam pada itu, rakyat Korea lebih suka portal tempatan yang memaparkan forum perbincangan manakala di China, aktiviti paling popular adalah permainan sosial dalam talian.
"Penerimaan media sosial sangat meluas dan pelbagai. Daripada pemerhatian di negara-negara Asia Pasifik, kami menemukan maklumat yang berbeza dan menakjubkan. Higginson menambah, perbezaan tersebut memberi implikasi tertentu terhadap dunia bisnes.
"Satu acuan tidak sesuai untuk digunakan di kesemua kawasan seperti Asia Pasifik. Anda boleh memiliki strategi media sosial yang sama di seluruh Eropah, tetapi di sini, memahami landskap tempatan sangat penting," jelas Higginson.
DNA digital
James Fergusson dari TNS mengatakan bahawa kajian firma tersebut menunjukkan bahawa setiap negara mempunyai 'DNA digital' yang unik.
"Malaysia, sama seperti beberapa negara Asia lain, sangat terbuka untuk membina persahabatan dalam talian, sedangkan di Jepun, mereka lebih teliti dalam memilih teman-teman dalam talian.
"Pengguna rangkaian sosial di Jepun cenderung untuk menghindarkan maklumat peribadi mereka didedahkan kepada umum. Mereka lebih gemar menggunakan identiti samaran," katanya.

PLATFORM Twitter sudah popular di Malaysia manakala di Jepun, ia masih baru.


Di beberapa negara di Asia, kekurangan kebebasan media juga telah mendorong kemunculan blog dan laman rangkaian sosial yang membolehkan pengguna bertukar-tukar maklumat secara bebas.
Di Malaysia, dengan sebahagian besar media arus perdana dikawal kerajaan, telah mencetus kelahiran portal berita bebas, blog politik dan profil Twitter prolifik yang bercakap mengenai hal ehwal semasa.
Penduduk Malaysia turut tidak malu menggunakan laman-laman tersebut sebagai medium pemasaran dan rangkaian untuk perniagaan kecil.
Seorang jurugambar dari Kuala Lumpur, Daniel Zain menjelaskan, dia hanya mengenali 10 peratus daripada bilangan rangkaian sosialnya yang mencapai 2,000 orang.
Bagaimanapun, bilangan kenalan semakin meningkat kerana dia terus menambah pelanggan dan kenalan baru.
Dia berpendapat, rakyat Malaysia kurang menitikberatkan soal privasi, mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi dan suka membina kenalan baru dari dalam talian yang tidak pernah dikenali.
"Kami suka bertemu dengan orang dan kami juga menyukai konsep rumah terbuka seperti majlis keramaian Krismas, Deepavali dan Hari Raya Aidilfitri.
"Kami telah mengambil konsep rumah terbuka dan meletakkannya dalam talian. Sesiapapun dijemput ke rumah terbuka anda, maka sesiapa sahaja akan dijemput untuk menyertai senarai teman Facebook anda," katanya.