Showing posts with label panduan pencegahan jenayah. Show all posts
Showing posts with label panduan pencegahan jenayah. Show all posts

Saturday, February 19, 2011

Artis Gengster Ditahan Polis Berhubung Kes Ugutan Bunuh terhadap Pegawai SPRM

KUALA LUMPUR: Seorang pelakon drama popular ditahan polis semalam selepas menyerah diri berhubung kes mengugut dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyiasat mengenai perkahwinan keduanya menggunakan sindiket nikah palsu.
Pelakon lelaki berusia 43 tahun itu pernah mencetuskan kontroversi dalam industri hiburan tanah air apabila gambar intimnya bersama seorang pelakon wanita tersebar di Internet. Menurut sumber polis, pelakon terbabit bersama tiga rakannya berusia 30-an mengugut dua pegawai penyiasat SPRM berkenaan, Isnin lalu.

“Menyedari kesalahannya selain yakin dia diburu pihak berkuasa, pelakon itu tampil menyerah diri di Balai Polis Kepong kira-kira jam 10 pagi (semalam) sebelum dia ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.
Menurutnya, pelakon terbabit sebelum ini dipanggil SPRM untuk membantu siasatan satu sindiket pernikahan palsu didalangi seorang kakitangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan empat lelaki lain berikutan dia menggunakan khidmat sindiket itu untuk pernikahan keduanya.

Sumber itu berkata, pertemuan pelakon terbabit dengan dua pegawai SPRM yang mahu mengambil keterangannya diadakan di sebuah kafe di Danau Kota, di sini, kira-kira jam 11.20 malam Isnin lalu.

“Sebaik pelakon itu dan tiga rakannya masuk ke kafe berkenaan, seorang daripada rakannya memperkenalkan diri sebagai ‘Abang Joe’ dan mendakwa dia pegawai khas Ketua Polis Negara.
“Abang Joe mengarahkan dua pegawai SPRM berkenaan menghentikan siasatan ke atas pelakon itu. Apabila dua pegawai SPRM itu bertegas untuk meneruskan siasatan, Abang Joe mengugut dengan mengatakan akan membunuh mereka,” katanya.

Menurutnya, Abang Joe turut mengugut mahu menembak kedua-dua pegawai itu sehingga mati jika permintaannya tidak dipenuhi. “Selain itu, Abang Joe memberitahu dia boleh memerangkap dua pegawai SPRM berkenaan dengan meletakkan dadah dalam rumah atau kenderaan mereka supaya pegawai itu ditahan polis.

“Malah, Abang Joe mendakwa dia sanggup mati semata-mata bagi memastikan SPRM tidak meneruskan siasatan terhadap pelakon terbabit,” katanya.

Sumber itu berkata, pelakon terbabit dan tiga rakannya meninggalkan kafe berkenaan sebelum kedua-dua pegawai penyiasat SPRM itu membuat laporan kejadian itu di Balai Polis Wangsa Maju, di sini.

Menurutnya, pelakon terbabit direman lima hari bermula semalam dan kesnya disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan penahanan pelakon terbabit.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Mohd Shukri Abdull ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak akan tunduk pada ugutan, tohmahan dan fitnah mana-mana pihak yang cuba menjejaskan siasatan sesuatu kes rasuah.

“Ini sebahagian cabaran yang perlu kami hadapi. Dalam kes sebegini, SPRM akan serahkan kepada polis mengambil tindakan sewajarnya.

“Kami akan teruskan siasatan sindiket pernikahan palsu itu,” katanya.


Read more: http://ilhamnurulresources.blogspot.com/#ixzz1EQJZOloT

Thursday, February 10, 2011

Jenayah Membawa Padah


PANDUAN PENCEGAHAN JENAYAH


PECAH RUMAH
CARA MENCEGAHNYA:
PERLINDUNGAN SECARA FIZIKAL
· Pasangkan 'door viewer', penyelak pintu utama.
· Pintu utama perlu diperbuat dari bahan yang kukuh dilengkapi dengan sistem kunci yang berkualiti.
· Pasangkan pagar besi berkunci pada tingkap rumah anda.
· Simpan tangga dan alat-alat di tempat yang selamat supaya penceroboh tidak menggunakan ia untuk memasuki rumah anda.
· Potong ranting-ranting pokok dan semak-samun sepanjang pagar rumah anda yang membolehkan penceroboh menyembunyikan diri di halaman rumah anda.
· Pasang lampu yang mempunyai alat pengesan untuk mengawal halaman serta boleh mengesan penceroboh.

LANGKAH BERJAGA-JAGA
· Kuncikan pintu dan tingkap apabila meninggalkan rumah anda walaupun untuk masa yang singkat.
· Jangan sembunyikan kunci di bawah alas kaki, di dalam pasu bunga atau di atas kotak meter elektrik di luar rumah anda.
· Jangan meninggalkan nota yang menyatakan ketiadaan anda di rumah.
· Gantikan semua kunci apabila kunci rumah anda hilang atau dicuri.
· Hentikan hantaran (contoh: surat khabar) apabila anda tiada di rumah untuk beberapa hari.
· Biarkan radio terpasang di waktu malam untuk mewujudkan suasana rumah yang berpenghuni.
· Simpan wang tunai di bank dan barang kemas anda dalam peti simpanan keselamatan.
· Minta tolong jiran sebelah rumah anda untuk tengokkan rumah anda sepanjang ketiadaan anda di rumah.


ROMPAKAN DI RUMAH

· Pastikan pintu pagar atau pintu utama dikunci sepanjang masa.
· Jangan buka pintu kepada orang yang tidak dikenali.
· Kenal pasti pelawat melalui 'door viewer' dan pastikan rantai kunci pintu berkunci apabila bercakap dengan pelawat yang tidak dikenali.
· Maklumkan kepada ahli keluarga terlebih dahulu jika anda menyuruh kawan atau seseorang ke rumah anda.

ROMPAKAN DI TEMPAT AWAM
· Berwaspada apabila ada orang yang tidak dikenali mengekori anda atau yang berpeleseran di kawasan lif.
· Elakkan dari menaiki lif dengan orang yang mencurigakan.
· Aturkan seseorang untuk menemani anda pulang ke rumah.
· Apabila anda dalam lif, sentiasa berdiri berdekatan dengan panel kawalan lif. Ini membolehkan anda mengawal lif jika berlaku perkara yang tidak diingini.
· Elakkan dari memakai barang kemas atau membawa wang tunai yang banyak.
· Rancang perjalanan anda dan elakkan dari melalui tempat gelap atau sunyi.
· Berhati-hati dengan orang yang mencurigakan yang sentiasa berpeleseran di lif, tangga, kaki lima dan di kawasan awam.
· Bawa alat penggera bersama anda dan gunakan ia untuk mencegah perompak atau untuk menarik perhatian orang yang berdekatan.

APA PERLU DILAKUKAN APABILA ANDA DIROMPAK.
· Anda perlu bertenang.
· Jangan bertindak jika perompak berkenaan mempunyai senjata.
· Perhatikan gerak-geri perompak seperti perwatakan, air muka, pakaian, tingkah laku pergerakan dan keterangan fizikal yang lain. Ia boleh membantu polis untuk mengesan perompak berkenaan.
· Perhatikan juga ke mana arah dan cara perompak itu melarikan diri. Jika ia menggunakan kenderaan, rekodkan nombor pendaftaran, warna kenderaan, dan jenis kenderaan. Pastikan juga ke arah mana ia pergi.
· Hubungi polis di nombor 999 atau hubungi Balai Polis berdekatan dengan segera.






PENYELUK SAKU

CARA UNTUK MENGHINDARI PENYELUK SAKU:
· Elakkan dari membawa wang tunai secara terbuka di khalayak ramai. Anda boleh membeli melalui internet atau menggunakan kad kredit.
· Silangkan beg anda di hadapan supaya anda mudah untuk memerhatikannya. Pastikan ia telah dikunci atau dizipkan.
· Jangan tinggalkan beg tangan anda di atas bakul atau troli di pusat membeli-belah.
· Periksa beg duit atau beg tangan jika seseorang menghimpit atau melanggar anda.
· Jangan tertipu oleh orang yang tidak dikenali yang cuba berbuat baik dengan anda tanpa sebarang sebab.
· Jangan tidur dalam bas atau LRT dan pastikan beg anda dijaga rapi.

KECURIAN KENDERAAN

TEMPAT-TEMPAT DI MANA KECURIAN BERLAKU:
· Tempat letak kereta awam, kompleks membeli-belah, di depan rumah, tepi jalan raya dan tempat letak kereta di hotel menjadi tempat yang sering berlakunya jenayah ini.

CARA-CARA UNTUK MENCEGAH KECURIAN KERETA:
· Pastikan kereta dipasang dengan alat penggera yang baik.
· Memasang kunci tambahan untuk stereng, gear, roda dan kelac.
· Pastikan juga kereta sentisa dikunci.
· Sentiasa letak kereta di tempat yang mudah dilihat dan pada waktu malam letak di tempat yang terang/berlampu.
· Jangan serah kunci kepada 'jockey' kereta.
· Mengukir nombor pendaftaran di cermin kereta (Sand Blasting)

CARA-CARA UNTUK MENGHALANG KECURIAN MOTOSIKAL:
· Letak motosikal di tempat yang dikhaskan.
· Pastikan anda mengunci motosikal ketika meninggalkannya.
· Letakkan di tempat yang mudah dilihat dan pada waktu malam letak di tempat terang/berlampu.
· Merantai dan menggunakan kunci tambahan adalah penting untuk mengelak motosikal dari dicuri.
· Ukirkan nombor pendaftaran motosikal pada bahagian-bahagian penting.



ROGOL

CARA-CARA MENGELAK DARI KEJADIAN ROGOL:
· Mengawasi ahli keluarga yang kurang siuman atau kebodohan supaya tidak terbiar dan terdedah kepada bahaya rogol.
· Memberi pendidikan kepada kanak-kanak mengenai kepentingan menjaga tubuh badan mereka daripada dicerobohi.
· Memberi pendidikan agama dan moral tentang dan kemudaratan perbuatan persetubuhan haram.
· Mengawasi dan memantau pergaulan anak-anak dan memastikan mereka tidak melebihi batas.
· Jangan mempercayai janji-janji oleh bomoh atau singseh. Telah terbukti persetubuhan bukan satu cara untuk berubat tetapi satu penipuan.
· Tidak mudah mempercayai janji untuk berkahwin dengan menyerah kehormatan diri.
· Tidak mudah menurut pelawaan orang-orang yang tidak atau baru dikenali untuk makan, minum, bersiar-siar atau pergi ke bilik/rumah mereka.
· Terlebih dahulu minta dan semak kad kuasa orang yang mengaku sebagai penjawat awam seperti polis atau pegawai pencegah maksiat sebelum mengikut arahan mereka.
· Elakkan dari berjalan bersendirian di tempat-tempat gelap, sunyi atau terpencil. Jika perlu pergi juga, pastikan anda berteman.
· Membawa alat penggera peribadi amat disyorkan.
· Sentiasa berwaspada dengan makanan dan minuman yang diberikan oleh orang yang tidak atau baru dikenali. Mungkin ia mengandungi dadah, bahan pelali atau perangsang nafsu.
· Berwaspada apabila melihat orang yang mencurigakan di sekitar kawasan kemudahan awam seperti tandas, stesen bas, lif dan sebagainya.
· Ketika hendak gunakan kenderaan awam, pastikan ada penumpang wanita lain bersama.

MENGATASI ANCAMAN ROGOL:
· Undang-undang membenarkan hak untuk mempertahankan diri daripada dirogol dengan menggunakan kekerasan ke atas penyerang (perogol) sehingga boleh menyebabkan luka parah atau kematian ke atasnya.
· Bertenang dan jangan kelam kabut jika diugut atau diserang.
· Jangan lakukan tindakan yang terburu-buru.
· Sekiranya anda membuat keputusan untuk melawan, pastikan anda benar-benar menguasai keadaan. Anda boleh gunakan tangan atau kaki atau sebarang benda yang ada pada anda seperti beg tangan, payung, kunci dan sebagainya untuk melawan.
· Camkan muka dan tanda-tanda yang ada pada penjenayah itu serta pakaiannya dan juga nombor kenderaan yang digunakan.
· Untuk membantu penyiasatan polis, anda dinasihatkan supaya tidak membasuh badan dan pakaian yang dipakai sewaktu kejadian sebelum membuat laporan polis.


Video Kempen Cegah Lumba Haram


Polis Di Raja Malaysia