Tuesday, November 30, 2010

Wan Azizah Melampau Pertikai Ketuanan Melayu

Malaysia's opposition People's Justice Party President Wan Azizah delivers her speech during the party's annual congress in Petaling Jaya, near Kuala Lumpur, Malaysia, Saturday, Nov. 27, 2010.
Ketua Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (IMPAK) Profesor Datuk Abdul Halim Sidek menyelar Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail yang sanggup mengeluarkan kenyataan meminta konsep ketuanan Melayu ‘dibakulsampahkan’.
Katanya, perbuatan Wan Azizah yang secara terang-terangan mengkritik ketuanan Melayu adalah satu tindakan yang salah kerana mempertikaikan kandungan Fasal 153 dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Ini adalah perkara yang amat sensitif dan boleh mengganggu keharmonian serta kesejahteraan dalam negara selain boleh menimbulkan rasa marah dan tidak berpuas hati di kalangan orang-orang Melayu,” katanya ketika dihubungi oleh umno-online.com.
Abdul Halim yang juga pensyarah di Fakulti Undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) menekankan bahawa kesan yang boleh diterima ekoran daripada ketidakseriusan terhadap Perlembagaan Malaysia akan menimbulkan implikasi yang sangat dasyat sebagaimana pernah berlaku pada 13 Mei 1969.
“Wan Azizah melakukan kesalahan besar kerana di bawah kerajaan Persekutuan yang ketuanya adalah Raja-raja Melayu sewajarnya sensitif dengan perkara tersebut.
“Wan Azizah melakukan kesalahan besar kerana di bawah kerajaan Persekutuan yang ketuanya adalah Raja-raja Melayu sewajarnya sensitif dengan perkara tersebut.
“Apakah Wan Azizah sengaja atau buat-buat tidak sedar bahawa kerajaan yang kita ada hari ini adalah dipayungi oleh Yang DiPertuan Agung dan apabila dia menyebut mahu ‘membakulsampahkan’ ketuanan Melayu bermakna dia juga mahu ‘membakulsampahkan’ Kesultanan Melayu,” tegasnya.
Katanya lagi, inilah sikap dangkal seorang pemimpin yang ghairah untuk mendapatkan undi dari kalangan pengundi bukan Melayu sehinggakan sanggup menggadai kepentingan bangsa dan negara termasuklah Raja-raja Melayu sendiri.
“Saya fikir ini adalah satu perancangan yang didalangi oleh pihak tertentu dalam usaha mencabar kerajaan dengan mempersenda kandungan Perlembagaan Persekutuan.
“Semua pihak sedar bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini memberi kata dua dan bertegas terhadap mana-mana pihak agar tidak lagi mempolemikkan Fasal 153 iaitu berkaitan dengan hak keistimewaan orang-orang Melayu, agama Islam dan bahasa Melayu,” jelasnya.
Terang Abdul Halim lagi, inilah tindakan golongan yang berfikiran sempit iaitu menggunakan agenda Melayu bagi meraih populariti dan memastikan namanya terus diingati sebagai landasan mengarah ke Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.
“Orang Melayu perlu sedar dan semua pihak juga mesti berwaspada dengan permainan politik jahat PKR dan pakatan pembangkang. Tindakan perundangan perlu dibuat dengan semua orang Melayu bersatu dan bangkit menolak kenyataan Wan Azizah.
“Kita kena buat kenyataan media, buat laporan polis dan desak pihak berkuasa untuk membuat siasatan kerana natijah yang akan dihadapi oleh masyarakat Malaysia akan lebih besar sekiranya apa yang cuba disampaikan oleh Wan Azizah diambil tanpa penilaian yang wajar,” terangnya lagi.
Pesan beliau lagi, rakyat perlu sedar bahawa sekiranya PKR menang dalam PRU-13 akan datang maka dengan sendirinya mereka akan cuba menghapuskan institusi Raja-raja Melayu.
“Janganlah rakyat sewenang-wenangnya mahu menyokong mana-mana parti tanpa membuat penilaian dan kefahaman terhadap matlamat dan hala tuju mereka. Jangan sampai jadi seperti Pak Kaduk yang menang sorak tapi kampung tergadai.”

No comments:

Post a Comment