PERBUATAN menggoda isteri orang dengan niat untuk bersanggama adalah satu kesalahan mengikut undang-undang negara.
Kesalahan itu termaktub dalam Seksyen 498 Kanun Keseksaan yang menyebut memikat atau membawa pergi atau menahan seseorang perempuan yang bersuami dengan tujuan untuk mengadakan hubungan seks adalah satu kesalahan jenayah.
Tafsiran seksyen berkenaan berbunyi begini: Barang siapa membawa atau memikat seseorang perempuan yang menjadi dan yang ia ketahui atau ada sebab untuk mempercayai sebagai isteri seseorang lelaki lain atau, daripada lelaki itu, atau daripada seseorang yang bertanggungjawab menjaga perempuan itu bagi pihak lelaki berkenaan, dengan niat supaya perempuan itu boleh melakukan persetubuhan yang ditegah dengan mana-mana orang, atau barang siapa menyembunyikan, atau menahan dengan niat itu seseorang perempuan tersebut, hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya.
Meskipun undang-undang itu sudah sekian lama wujud namun ia hanya diketahui umum secara meluas akhir-akhir ini apabila prosiding satu kes membabitkan seorang selebriti jelita serta suaminya dan seorang tokoh korporat dilaporkan media massa.
Walaupun kes itu belum diadili sepenuhnya, ia sudah dibawa ke Mahkamah Persekutuan berikutan pertikaian membabitkan isu tunjang yang menyentuh Perlembagaan Persekutuan.Meskipun undang-undang itu sudah sekian lama wujud namun ia hanya diketahui umum secara meluas akhir-akhir ini apabila prosiding satu kes membabitkan seorang selebriti jelita serta suaminya dan seorang tokoh korporat dilaporkan media massa.
Namun, baru-baru ini, mahkamah tertinggi negara itu memutus untuk menghantar balik kes berkenaan ke Mahkamah Majistret untuk dibicarakan.
Penghakiman itu dibuat berikutan Mahkamah Persekutuan berpendapat Mahkamah Majistret perlu memutuskan fakta kes berkenaan terlebih dahulu sebelum pihak terbabit boleh memohon untuk merujuk ke Mahkamah Persekutuan untuk menimbang tara isu berkaitan Perlembagaan yang menjadi perhujahan.
Dalam kes itu, penerbit rancangan televisyen, Ryan Chong Yiing Yih, 32, mengheret tokoh korporat, Darren Choy, 45, ke mahkamah atas dakwaan memikat isterinya yang juga seorang selebriti terkenal, Daphne Iking, 30, dengan niat supaya wanita itu melakukan persetubuhan dengannya.
Choy didakwa melakukan kesalahan itu di kondominium The Plaza, Jalan Wan Kadir, Taman Tun Dr Ismail di ibu kota antara Julai 2007 dan September 2008 lalu.
Meskipun pertuduhan yang dikenakan adalah kesalahan jenayah namun pendakwa raya membuat keputusan untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap Choy dengan alasan kes itu merupakan isu peribadi membabitkan suami isteri.
Justeru, sebagai pilihan, pada Ogos tahun lepas, Majistret Mohd Faizi Che Abu mengizinkan Chong mengemukakan saman peribadi terhadap Choy.
Perbicaraan berkenaan jelas menarik perhatian beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Women’s Action Society, Sisters in Islam (SIS) serta Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor yang menghantar peguam pemerhati untuk mengikuti prosiding.
Dalam kes itu, Choy diwakili peguam Jagjit Singh, Akbardin Abdul Kader dan Datuk Cyrus Dass manakala Chong diwakili peguam Wong Kian Kheong.
Dua peguam lain, Ravi Nekoo dan Pushpa Ratnam menjadi pemerhati bagi pihak Iking. Manakala peguam, Edmond Bon dan Aston Paiva mengikuti prosiding bagi pihak Majlis Peguam Malaysia.
Iking berkahwin dengan Chong pada 27 Januari 2007 di Bali, Indonesia.
Mereka mempunyai seorang anak perempuan bernama Isobel Daniella Iking-Chong. Pasangan itu, bagaimanapun, bercerai pada 2008.
Tidak berpuas hati dengan keputusan majistret membenarkan Chong mengemukakan saman peribadi terhadapnya meskipun pendakwa raya enggan meneruskan kes, Choy memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi.
Apabila rayuan didengar Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Sofian Abd Razak pada 24 Ogos lalu, peguam Choy turut menimbulkan isu tujuh perkara tunjang yang bersangkut paut dengan Perlembagaan serta kesahihan pertuduhan yang dikenakan mengikut Seksyen 498.
Mendengar hujah kedua-dua pihak, beliau memutuskan untuk merujuk kes itu ke Mahkamah Persekutuan kerana kepentingan isu Perlembagaan yang ditimbulkan.
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi mendengar permohonan rujukan Choy itu pada 7 November lalu.
Bagaimanapun, mereka bertindak membatal permohonan itu seraya menghantar kes berkenaan untuk dibicarakan di Mahkamah Majistret pada satu tarikh yang diawalkan.
“Kita tidak jawab soalan undang-undang tanpa fakta atau berdasarkan soalan andaian semata-mata,” kata Zaki yang bersidang bersama Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Md Raus Sharif.
Antara tujuh isu yang dirujuk ke Mahkamah Persekutuan untuk pertimbangan ialah:
Perkara 5 (1) menyebut tiada seseorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali menurut undang-undang.
Kes itu akan dibicara oleh Mahkamah Majistret pada 29 November ini.
No comments:
Post a Comment